Masalah Pembelajaran
ialah kecacatan yang menghalang kemajuan akademik seseorang individu. Masalah Pembelajaran merupakan suatu masalah neurologi yang berkaitan dengan cara otak menerima, memproses, menganalisa dan menyimpan maklumat. Hasilnya ialah murid-murid mungkin menghadapi masalah seperti membaca dan menulis, mengira, mengurus, mengingat kembali dan menyelesaikan tugasan peringkat tinggi. Keadaan ini mengakibatkan kadar pembelajaran murid-murid tersebut berbeza dengan murid yang tidak menghadapi masalah ini. Antara masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti adalah:
Masalah membaca
- Pembelajaran bahasa lewat dan mungkin mempunyai perbendaharaan kata yang terhad.
- Membaca dengan perlahan.
- Penyebutan yang tidak tepat dan kurang fasih.
- Menghadapi masalah mempelajari huruf abjad dan bunyi kepada huruf serta kesukaran dalam mengingati bunyi tersebut.
- Membuat banyak kesilapan semasa membaca dan perlu mengulang atau berhenti seketika.
- Sering menterbalikkan perkataan, misalnya ‘b’ menjadi ‘d’, ’18′ menjadi ’81′ dan ‘on’ menjadi ‘no’.
- Masalah kefahaman, iaitu sukar mengenal pasti idea utama, mengingat kembali fakta asas dan peristiwa dalam aturan yang betul serta membuat kesimpulan dan analisis bahan yang telah dibaca.
Masalah menulis
- Tulisan yang tidak kemas dan cara pegang pensel yang janggal.
- Menghadapi masalah atau kesukaran menjelaskan idea melalui penulisan.
- Susah menguruskan apa-apa yang hendak dikatakan atau tidak dapat memikirkan perkataan yang sesuai dalam penulisan atau perbualan.
- Masalah mengira
- Keliru dengan simbol Matematik dan salah baca nombor.
- Sukar mengingati fakta Matematik, misalnya istilah-istilah Matematik.
- Keliru tentang operasi dan konsep Matematik.
Masalah komunikasi
- Menghadapi masalah dalam resepsi bahasa atau pendengaran.
- Melibatkan kemahiran berkomunikasi.
- Kesukaran memilih perkataan yang sesuai.
- Tindak balas yang lewat dan sering disalahtafsirkan sebagai kegagalan memahami sesuatu atau keengganan melibatkan diri dalam aktiviti kelas.
- Kanak-kanak ini cenderung menggunakan bahasa yang mudah, bahasa yang kurang matang dan tidak dapat menceritakan semula sebuah cerita dalam urutan yang betul.
- Masalah memahami lawak jenaka, komik atau sindiran.
- Masalah dalam mengikut arahan.
- Mungkin tidak mengikuti peraturan sosial semasa perbualan seperti tidak menunggu giliran untuk bercakap.